بسم
الله الرحمن الرحيم
السلام
عليكم ورحمة الله وبركاته
Insan soleh menjadi dambaan, impian dan
cita-cita bagi setiap ibu bapa yang bertaqwa. Dalam mencapai usaha murni ini,
bukan ibu bapa sahaja yang memainkan peranan, malah guru turut menjadi
penyumbang dalam pembentukan insan soleh. Ini kerana, guru merupakan golongan
kedua yang terdekat setelah ibu bapa. Pendekatan yang ditunjukkan guru akan
menjadi pengaruh dalam mencorakkan sikap seseorang anak.
Terdapat tiga peranan
penting seseorang guru yang boleh memberi kesan dalam pembentukan insan soleh
iaitu menunjukkan contoh yang baik, nasihat yang berterusan dan menanam sikap
terpuji dalam diri anak murid.
Peranan seorang guru dalam menunjukkan
contoh yang baik sememangnya akan memberi kesan kepada sikap dan perangai
anak-anak murid. Contohnya, seperti guru yang menjaga kebersihan, bercakap
dengan sopan dan merendah diri. Kesannya, apa yang ditunjukkan guru akan
menjadi ikutan kepada anak murid tersebut. Oleh sebab itu, seseorang guru mestilah
memiliki akhlak yang terpuji terlebih dahulu.
Apabila anak murid sudah terbiasa
melihat contoh yang baik, insyaAllah kelak sikap dan perangainya akan menurut
apa yang ditunjukkan oleh guru itu.
Sabda Rasulullah s.a.w:
اِذا مَاتَ ابنِ آدم
انقَطَعَ عَمَلُهُ اِلَّا مِن ثَلَاثَة : صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ, اَو عِلمٍ يُنتَفَعُ
بِهِ, او وَلَدٍ صَالِحٍ يَدعولَه
Maksudnya: “apabila telah mati anak adam,
maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu: sedekah jariah, atau ilmu
yang bermanfaat atau anak yang soleh yang mendoakan kepadanya”
Peranan kedua adalah dengan memberi
nasihat secara berterusan kepada anak murid melalui pendekatan kasih sayang.
Firman Allah taa’la dalam surah Luqman ayat 13 yang telah mendidik anaknya:
Maksudnya: dan (ingatlah) ketika Luqman
berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: “wahai anak
kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya perbuatan
syirik adalah kezaliman yang besar”.
Seorang guru tidak boleh mudah berputus
asa atau mudah mengalah dalam menghadapi sikap nakal seoarang anak murid. Guru
yang baik tidak akan membiarkan anak murid yang berperangai sukar tanpa
tarbiah. Usaha guru itu mestilah optima. Yakni memberikan kesungguhan pada
tahap tertinggi. Terkadang, apa yang salah pada seseorang guru ialah sering
meletakkan andaian negatif pada anak murid. Natijahnya, anak murid akan lebih
agresif dan bertindak diluar jangka. Ketahuilah, setiap anak murid itu adalah
suci dan berpotensi menjadi mutiara yang bersinar kelak.
Sekeras-keras batu, ianya melekuk juga
apabila dititiskan air setiap hari. Begitu jugalah seorang anak murid. Guru
mestilah memberi nasihat yang tidak putus. InsyaAllah nasihat secara berhikmah
akan dapat melembutkan hatinya dan berubah menjadi insan soleh.
Menanam sikap terpuji dalam diri anak
murid adalah peranan ketiga seorang guru dalam pembentukan insan soleh. Guru
boleh menceritakan kisah-kisah teladan daripada Al-Quran mengenai para nabi
mahupun kisah-kisah berkaitan dengan para sahabat. Anak murid akan lebih
cenderung dan berminat kerana kelebihan orang yang bersifat terpuji. Teguran
secara berhikmah apabila anak murid melakukan kesalahan akan lebih memberi impak
kapada anak murid.
Guru juga perlu mendoakan anak murid supaya sentiasa
mengamalkan sikap-sikap terpuji dalam diri dan tidak terpengaruh dengan perkara
yang tidak baik. Dalam surah Ali-Imran ayat 38, Allah berfirman:
Bermaksud: “wahai tuhan kami, kurniakanlah
kepadaku dari sisimu zuriat keturunan yang baik, sesungguhnya engkau sentiasa
mendengar (menerima) doa.”
Disamping berdoa, perlu diberi penekanan
dari aspek fardhu ain dan kifayah supaya dapat membangun diri, masyarakat dan
negara.
Kesimpulannya, peranan seorang guru itu
sememangnya penting. Tidak dinafikan peranan guru sangat besar dalam membentuk
sahsiah dan jati diri budi seseorang insan soleh. Namun, proses yang paling
penting adalah hikmah. Berikanlah kasih sayang dan tunjukkanlah contoh yang
terbaik kepada mereka serta tumpuan sepenuhnya. Didiklah supaya sentiasa
beramal soleh dan dan tinggalkan perbuatan yang dilarang oleh Allah.
# ilmu, iman dan amal...