Sunday, November 17, 2024

AYAH...ku kirimkan doa...

Nota: sumber mutiara kata ini dipetik dan diambil dari hasil pembacaan dan pengalaman penulis sendiri serta dari penulis mutiara kata yang terkenal dan sudah sedia ada. Jika ada yang kurang dan salah, sudi-sudikan menegur saya.







بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 

Alhamdulillah...moga Allah SWT memudahkan segala urusan kita hari ini dan seterusnya...

......

Sebelum Amal nak nukilkan tulisan isi hati, marilah sama2 kita baca zikir mudah...

سبحان الله۞الحمدلله۞الله اكبر۞لا اله الا الله
اللهم صلى على سيدنا محمد

Alhamdulillah, dapat zikir hari ni...mudahan pembaca setia blog Amal teruskan amalkan zikir ni dimana sahaja ye. 

Sebenarnya terasa sangat berat untuk menukilkan entry kali ni kerana tajuknya membuatkan hati ini rindu pada seorang ayah. Ingatan diri kembali menggamit memori seorang ayah yang sentiasa menjadi hero kepada anak perempuan, sentiasa melayani kerenah permintaan manja dan sentiasa menjadi driver membawa jalan-jalan.

Tatapan terhadap gambar-gambar lama ayah tersenyum saat dirinya seakan-akan kuat dan sihat membuatkan air mata aku menitis laju ke pipi kerana hakikatnya aku menyedari dalam catatan nota kesihatan ayah di hospital yang baru aku baca tempoh hari sebenarnya ayah sudah sakit kronik. Tidak pernah ayah cerita keadaan sebenarnya, yang aku tahu ayah sentiasa tunjukkan dirinya sentiasa sihat. 

Aku tersentak membaca laporan perubatan ayah. Aku terkedu sebenarnya. Waktu yang berjalan tidak mampu diundur kembali dan takdir ayah sudah tertulis. Hanya dalam tempoh 2 bulan ayah menunjukkan dirinya sudah tidak lagi kuat. Manusia memang sifatnya tidak puas dan mahukan lebih. Tapi, Allah lebih sayangkan ayah. 

Ayah pergi dengan tenang. Ayah pergi pada waktu subuh yang baik dalam keadaan ayah yang terbaik. 5 minit sebelum subuh sempat lagi bertanya sudah masuk waktu atau belum, kerana rutin ayah akan bertolak melakukan dialisis di Sungai Besar seawal 6. 30 pagi. Ayah yang aku kenal sentiasa bangun awal dan bersiap awal. Ayah meminta emak aku mandi dahulu dan solat. Sewaktu itulah, setelah selesai urusan emak solat, emak perasan yang ayah masih baring di atas katil namun kaki kanannya sudah siap jatuh untuk bangun. Setelah beberapa kali digerak, emak merasakan yang degupan jantung dan nadi ayah sudah tiada. 

Ayah menjadi ayah yang sentiasa aku kenal sebagai seorang ayah yang menunjukkan contoh terbaik. Hinggakan contoh pemergiannya menjadi sumber inspirasi aku untuk mendapatkan kematian sepertinya. 

Dialog ayah yang diceritakan emak sebelum sehari ayah meninggal meninggalkan kesan dalam fikiran aku. 

"Ayah ada jamuan esok dengan kawan-kawan"

"Ayah nak mandi esok, cuma kena bawa selimut dengan bantal kecil"

"Ayah nak pakai seluar dengan kain ihram yang ayah pergi umrah tu..."

Semasa entry ni dinukilkan, sudah hampir 21 hari pemergian ayah. Setiap kali aku rindukan ayah aku teringat celoteh tutur bicaranya yang sentiasa meraikan apatah lagi anak2nya. 

Semoga ayah diampunkan segala dosa, dibebaskan dari seksa kubur dan neraka dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman, beramal soleh, para syuhada' serta para rasul. Rindu ayah.




Saya Gadis Banjar : Keladi Gajah

Nota: sumber mutiara kata ini dipetik dan diambil dari hasil pembacaan dan pengalaman penulis sendiri serta dari penulis mutiara kata yang t...