Wednesday, March 15, 2017

Rasulullah sebagai Uswatun Hasanah

Nota: sumber mutiara kata ini dipetik dan diambil dari hasil pembacaan dan pengalaman penulis sendiri serta dari penulis mutiara kata yang terkenal dan sudah sedia ada. Jika ada yang kurang dan salah, sudi-sudikan menegur saya.






بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Selawat dan salam buat baginda, Rasul junjungan, rasul mulia, rasul tercinta. Sebelum belayar lebih jauh, sebelum mendaki lebih tinggi, sebelum menyelam lebih dalam mari kita hayati maudu’ bicara yang berbunyi  “Rasulullah SAW sebagai Uswatun Hasanah”

Sahabat sekalian yang di kasihi Allah,

Tajuk kali ini merangkumi tiga intipati penting. Pertama contoh ikutan yang wajar di ikuti, kedua cara ikutan yang terbaik, dan ketiga kesan ikutan kepada peribadi diri. Menyentuh isi pertama berkaitan siapakah yang wajar di ikuti. Apabila menyebut soal contoh ikutan ianya di kaitkan dengan perbuatan meniru perbuatan seseorang. Tirulah perbuatan Rasulullah SAW  kerana apa contoh yang ditunjukkan Rasulullah SAW merangkumi segala aspek kehidupan secara menyeluruh waima sekecil-kecil perkara hinggakan sebesar-besar perkara.

Bersesuaian dengan hadis yang masyhur;

انما بعثت لأتمما مكارم الأخلاق


Maksudnya : “sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan Akhlak.

Tetapi sayang pada hari ini, ramai meletakkan idola yang salah, mengikut perilaku orang kaya yang bermegah, nafsu pada harta yang melimpah, hati manusia yang sering tidak diambil kisah, lalu akhlak di letakkan di tangga terbawah, disudut manakah kita meletakkan Allah, seolah-olah kita tidak pernah mengenali Rasulullah.

Sebelum itu, mari kita sama-sama menyelusuri lipatan sejarah, mengenai agungnya sebuah kisah, berkaitan dengan kehidupan Rasulullah, sebagai uswatun hasanah.
Para pengkaji barat ada menyebut bahawa kitab Al-Quran merupakan kitab sains yang merangkumi kehidupan sosial, budaya dan pelbagai lagi, walhal seperti yang kita ketahui Al-Quran itu merupakan kalam Allah SWT yang menjadi petunjuk dan renungan buat manusia di duniawi untuk kehidupan ukhrawi. Malahan, Al-Quran itu adalah mukjizat agung yang ditinggalkan kepada kita oleh nabi agung Nabi Muhammad SAW yang mana salah satu aspek terpenting yang di sebut di dalam Al-Quran adalah akhlak. Firman Allah SWT dalam surah (Al-Anbiya’ ayat  10):


Maksudnya : “Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu sebuah Kitab (Al-Quran) yang mengandungi perkara yang menimbulkan sebutan baik dan kelebihan untuk kamu, maka mengapa kamu tidak memahaminya (dan bersyukur akan nikmat Yang besar itu)?” (Al-Anbiya’ : 10)

Ini membuktikan bahawa apa yang terkandung di dalam Al-Quran hanyalah perkara yang sangat-sangat baik. Intipati yang mengajarkan kepada kita agar lebih berbudi dalam berbahasa, berfikir dalam berkata, merenung dalam memahami dan lebih bersyukur dalam mentaati.  Akhlak di dalam islam bukan satu entiti yang terpisah tetapi ia satu badan yang saling melengkapi untuk membentuk peribadi muslim itu menjadi lebih baik di sebalik hikmah yang ada. Pemahaman tengtang islam secara umum sangat diperlukan. Islam itu agama dan islam itu adalah (way of life) satu cara hidup yang merentasi segala segmen sosial, politik , ekonomi dan sebagainya. Waima ajaran di dalam islam yang di bawa Rasulullah SAW itu tidak pernah berubah.

Isi yang kedua menyebut soal peranan kita mengikuti dengan kaedah yang terbaik. Pernahkah kita berfikir, apakah penciptaan manusia di dunia ini sekadar sia-sia tanpa ada tujuan. Jawapannya tidak, Allah tidak menjadikan manusia tanpa sebarang tujuan, kita diciptakan untuk beribadah kepadanya dan mentadbir bumi. Maka tadbirlah alam ini dalam tiga tiang atau cabang. Tiang yang yang pertama Allah, tiang kedua syariah, dan tiang ketiga akhlak. Tanpa ketiga-tiga tiang ini, pastinya iman yang ada tidak kukuh dan akan runtuh. Firman Allah SWT dalam surah (Al-Fatiha ayat 7):

Maksudnya : “(iaitu) jalan orang-orang yang telah engkau beri nikmat kepadanya; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.
(Al-fatiha : 7)


Dalam ayat tadi menyebutkan dua isi penting berkaitan dengan (Role model) atau contoh ikutan. Role model pertama adalah daripada ayat yang bermaksud “(iaitu) jalan orang-orang yang telah engkau beri nikmat kepadanya”. Contohnya seperti para nabi, syuhada’ mahupun ulama’. Role model kedua daripada ayat yang bermaksud  “bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat”. Contohnya seperti nasrani dan yahudi.

 Apakah yang dimaksudkan dengan (Role model ) atau contoh ikutan? Role model merupakan figura , idola atau tokoh yang dikagumi, disanjungi dan dijadikan ikutan dalam perkara-perkara yang baik. Hebat dari segi akhlak, amanah dari segi kepimpinan dan luas dari segi ilmu pengetahuan.  Kesemua ciri-ciri yang disebutkan terdapat pada Nabi kita yang tercinta, Nabi Muhammad SAW yang di didik langsung dari Allah SWT supaya menjadi uswatun hasanah sebagai menterjemah Al-Quran dalam bentuk praktikal yang boleh diterima akal. Kitalah yang memainkan peranan dalam menjadikan diri sebagai muslim atau muslimah yang sejati. Lihat para sahabat nabi yang menunjukkan bukti kecintaan yang besar dengan mengikuti saranan nabi dalam seluruh aspek kehidupan seperti saidina Abu Bakar.

Intipati yang ketiga menyebut berkaitan dengan kesan kepada peribadi diri jika kita berakhlak. Akhlak itu merupakan satu sifat atau perilaku yang tertanam dalam jiwa yang akan menimbulkan sifat yang baik yang boleh meningkatkan taraf kehidupan. Taraf kehidupan seseorang diukur melalui sejauh mana seseorang itu memegang prinsip-prinsip islam dalam kehidupannya. Kesannya akan lebih terbias apabila penerapan sikap memntingkan orang lain berbanding dirinya.


Kesimpulannya, hargailah apa yang telah diusahakan oleh Rasulullah SAW sehingga Islam mampu bertapak kukuh pada hari ini, jadikanlah Rasulullah itu sebagai contoh ikutan, idola yang dikagumi kerana Rasulullah itulah yang terbaik. Secara konklusinya, tajuk kali ini merangkumi tiga intipati penting. Pertama contoh ikutan yang wajar di ikuti, kedua cara ikutan yang terbaik, dan ketiga kesan ikutan kepada peribadi diri.      

Wahai sahabat, marilah sama-sama kita sedar, marilah kita kembali kepada syariat yang sebenar, peri pengtingnya bersifat atau berakhlak dengan perilaku yang wajar, bersatu untuk mendapatkan ganjaran yang  besar, jangan  harta sahaja yang di kejar, hingga akhlak tidak sejajar, hati pula terbiar gusar, menjadi baik bukannya sukar, ikhlaskan diri untuk belajar agar kita sama merasa, sama bahagia, bersama di syurga. Insya-Allah.Sekian. Wassalam.



Saturday, March 11, 2017

Rumah Mutiara Kata 20

Nota: sumber bacaan ini dipetik dan diambil dari hasil pembacaan dan pengalaman penulis sendiri serta dari penulis mutiara kata yang terkenal dan sudah sedia ada. Jika ada yang kurang dan salah, sudi-sudikan menegur saya.

      "Gagal merancang, merancang kegagagalan"

huraian : perancangan adalah asas sebelum sesuatu perkara hendak dilaksanakan. Namun, seandainya perancangan awal sudah menemui kepincangan maka sudah pasti ianya akan berkesudahan dengan kepincangan. Rancanglah perjalanan hidup kita dengan baik, diseimbangi antara dunia dan akhirat agar kita tidak gagal di sana kelak.


Nota: Kita merancang dan Allah jua merancang, namun sebaik-baik perancang adalah Allah SWT




Ucapan Hari diLahirkan

No ta: sumber mutiara kata ini dipetik dan diambil dari hasil pembacaan dan pengalaman penulis sendiri serta dari penulis mutiara kata yang ...