Sunday, April 26, 2015

Peranan Guru dalam Pembentukan Insan Soleh

Nota: sumber mutiara kata ini dipetik dan diambil dari hasil pembacaan dan pengalaman penulis sendiri serta dari penulis mutiara kata yang terkenal dan sudah sedia ada. Jika ada yang kurang dan salah, sudi-sudikan menegur saya.


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Insan soleh menjadi dambaan, impian dan cita-cita bagi setiap ibu bapa yang bertaqwa. Dalam mencapai usaha murni ini, bukan ibu bapa sahaja yang memainkan peranan, malah guru turut menjadi penyumbang dalam pembentukan insan soleh. Ini kerana, guru merupakan golongan kedua yang terdekat setelah ibu bapa. Pendekatan yang ditunjukkan guru akan menjadi pengaruh dalam mencorakkan sikap seseorang anak. 

Terdapat tiga peranan penting seseorang guru yang boleh memberi kesan dalam pembentukan insan soleh iaitu menunjukkan contoh yang baik, nasihat yang berterusan dan menanam sikap terpuji dalam diri anak murid.

Peranan seorang guru dalam menunjukkan contoh yang baik sememangnya akan memberi kesan kepada sikap dan perangai anak-anak murid. Contohnya, seperti guru yang menjaga kebersihan, bercakap dengan sopan dan merendah diri. Kesannya, apa yang ditunjukkan guru akan menjadi ikutan kepada anak murid tersebut. Oleh sebab itu, seseorang guru mestilah memiliki akhlak yang terpuji terlebih dahulu. 

Apabila anak murid sudah terbiasa melihat contoh yang baik, insyaAllah kelak sikap dan perangainya akan menurut apa yang ditunjukkan oleh guru itu.
Sabda Rasulullah s.a.w:
اِذا مَاتَ ابنِ آدم انقَطَعَ عَمَلُهُ اِلَّا مِن ثَلَاثَة : صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ, اَو عِلمٍ يُنتَفَعُ بِهِ, او وَلَدٍ صَالِحٍ يَدعولَه
Maksudnya: “apabila telah mati anak adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu: sedekah jariah, atau ilmu yang bermanfaat atau anak yang soleh yang mendoakan kepadanya”

Peranan kedua adalah dengan memberi nasihat secara berterusan kepada anak murid melalui pendekatan kasih sayang. Firman Allah taa’la dalam surah Luqman ayat 13 yang telah mendidik anaknya:

Maksudnya: dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: “wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya perbuatan syirik adalah kezaliman yang besar”.

Seorang guru tidak boleh mudah berputus asa atau mudah mengalah dalam menghadapi sikap nakal seoarang anak murid. Guru yang baik tidak akan membiarkan anak murid yang berperangai sukar tanpa tarbiah. Usaha guru itu mestilah optima. Yakni memberikan kesungguhan pada tahap tertinggi. Terkadang, apa yang salah pada seseorang guru ialah sering meletakkan andaian negatif pada anak murid. Natijahnya, anak murid akan lebih agresif dan bertindak diluar jangka. Ketahuilah, setiap anak murid itu adalah suci dan berpotensi menjadi mutiara yang bersinar kelak.

Sekeras-keras batu, ianya melekuk juga apabila dititiskan air setiap hari. Begitu jugalah seorang anak murid. Guru mestilah memberi nasihat yang tidak putus. InsyaAllah nasihat secara berhikmah akan dapat melembutkan hatinya dan berubah menjadi insan soleh.

Menanam sikap terpuji dalam diri anak murid adalah peranan ketiga seorang guru dalam pembentukan insan soleh. Guru boleh menceritakan kisah-kisah teladan daripada Al-Quran mengenai para nabi mahupun kisah-kisah berkaitan dengan para sahabat. Anak murid akan lebih cenderung dan berminat kerana kelebihan orang yang bersifat terpuji. Teguran secara berhikmah apabila anak murid melakukan kesalahan akan lebih memberi impak kapada anak murid. 

Guru juga perlu mendoakan anak murid supaya sentiasa mengamalkan sikap-sikap terpuji dalam diri dan tidak terpengaruh dengan perkara yang tidak baik. Dalam surah Ali-Imran ayat 38, Allah berfirman:
Bermaksud: “wahai tuhan kami, kurniakanlah kepadaku dari sisimu zuriat keturunan yang baik, sesungguhnya engkau sentiasa mendengar (menerima) doa.”

Disamping berdoa, perlu diberi penekanan dari aspek fardhu ain dan kifayah supaya dapat membangun diri, masyarakat dan negara.

Kesimpulannya, peranan seorang guru itu sememangnya penting. Tidak dinafikan peranan guru sangat besar dalam membentuk sahsiah dan jati diri budi seseorang insan soleh. Namun, proses yang paling penting adalah hikmah. Berikanlah kasih sayang dan tunjukkanlah contoh yang terbaik kepada mereka serta tumpuan sepenuhnya. Didiklah supaya sentiasa beramal soleh dan dan tinggalkan perbuatan yang dilarang oleh Allah.

# ilmu, iman dan amal...


Ucapan Hari diLahirkan

No ta: sumber mutiara kata ini dipetik dan diambil dari hasil pembacaan dan pengalaman penulis sendiri serta dari penulis mutiara kata yang ...