Friday, December 23, 2016

Murid Berkualiti Pemangkin Kecemerlangan

Nota: sumber mutiara kata ini dipetik dan diambil dari hasil pembacaan dan pengalaman penulis sendiri serta dari penulis mutiara kata yang terkenal dan sudah sedia ada. Jika ada yang kurang dan salah, sudi-sudikan menegur saya.

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Murid berkualiti, adakah lagi masa kini, identitinya sukar dicari, susuk peribadi sukar ditemui, kemanakah ciri-ciri murid berkualiti yang boleh dicontohi?

Tiga medan akan kita tempuhi bersama, pertama mengenal pasti ciri-ciri murid berkualiti yang membawa kita mengenali dengan lebih mendalam. Kedua, proses pembentukan murid berkualiti yang mengambil kira didikan awal dan seterusnya.  Ketiga, kesan murid berkualiti bukan sahaja impak kepada diri malah kepada masyarakat dan juga negara.

Dengan itu, mari bersama kita membuka minda, mencakna jiwa mendalami “Murid Berkualiti Pemangkin Kecemerlangan”.

Pembaca sekalian,
Pertama. Kita perlu mengenal pasti ciri-ciri murid berkualiti. Bagi menghasilkan murid yang cemerlang mestilah dengan kualiti muridnya. Persoalannya karakter bagaimana yang ingin di cari?. Jawapannya melalui 3 B. Bijak, berilmu dan beramal.

Bijak bukan sahaja terletak pada fikiran, bijak juga terletak pada hati. Bijak juga dalam tindakan. Bijak perlukan ilmu. Berilmu syarat kedepan. Berilmu syarat sang pemimpin. Berilmu ketika berurusan. Berilmu jangan disimpan tapi untuk diamalkan. Supaya, lebih kuat, lebih hebat dan berkat. seperti kata buah fikir ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah.

Pembaca sekalian,
Setelah kita mengenal pasti ciri-ciri murid yang berkualiti. Kita perlu ke langkah seterusnya. Dimana, proses yang penting bagi membentuk seorang insan yang kamil. Bahan asas telah ada, Bijak. Berilmu. Beramal. Namun, alat apa yang boleh kita gunakan bagi menghasilkan sesuatu yang cantik. Alatnya juga mesti cantik. Iaitu 4 D. Didikan ibubapa. Didikan guru. Didikan rakan-rakan. Dan didikan masyarakat.

Didikan ibu bapa merupakan guru pertama bagi seorang manusia, bahkan madrasah terawal bagi sang anak. Ibu bapa mestilah memberikan yang terbaik dengan mengenalkan ilmu mengenal tuhan, ilmu mengenal rasul dan ilmu kehidupan. insyaAllah apa yang terhasil pasti hebat dan berkesan.

Kedua, didikan guru. Kesinambungan daripada didikan ibu bapa. Guru adalah gedung ilmu formal insan ke langkah seterusnya. Guru mengaji, guru bahasa, guru matematik, guru silat atau apa sahaja guru menyempurnakan lagi pemahaman ilmu yang telah diberikan. Sebagai persiapan menuju dunia sebenar. Sebagai bekalan menghadapi alam yang mencabar.

Ketiga, didikan rakan yang membawa pengaruh besar yang mencorak anak ini tadi. Untuk pengetahuan kanak-kanak adalah peniru yang terbaik. Berkualiti rakannya, maka berkualiti lah dia.
Keempat didikan masyarakat, dari awal kita menyebut didikan ibu bapa, didikan guru, dan didikan rakan. 

Maka, hal yang penting juga mestilah pengaruh dari masyarakat sekeliling itu sendiri. Akhlak masyarakat setempat yang berbudi akan disantuni, jiran yang saling menghormati akan diteladani, disini nanti kita akan melihat setiap rumah memiliki anak yang cemerlang duniawi malah cemerlang ukhrawi

Pembaca sekalian,
Akhir sekali, apakah kesan murid berkualiti? Apakah untungnya kepada ibu bapa? Apakah kebaikannya pada guru, masyarakat ataupun negara?

Dalam keluarga akan mendapat permata yang bernilai dan bersinar, menjadi kebanggaan ibu dan bapa. Namanya akan menjadi sebutan yang baik dalam masyarakat. Walau nanti mati meninggalkan jasad. Negara akan menjadi cemerlang kerana rakyatnya. Bagaimana? Anak yang cemerlang akan menjadi ibu bapa cemerlang. Ibu bapa cemerlang akan menyumbang dalam negara. Hasilnya negara turut cemerlang.

Kesimpulannya,
Pembentukan seseorang murid yang berkualiti mestilah dijaga daripada awal. Disamping berdoa, perlu diberi penekanan dari aspek fardhu ain dan kifayahnya. Supaya Allah sentiasa menjadi rujukan utama. Semoga murid yang berkualiti bukan sahaja cemerlang akdemiknya namun turut cemerlang akhiratnya.

Akhir kalam terimalah serangkap pantun daripada saya.
Dua tiga kucing kampung,
Mana nak sama kucing di pekan,
Orang berilmu mesti disanjung,
Anak soleh jadi impian.

Sekian.
Dayang Bungah

Ucapan Hari diLahirkan

No ta: sumber mutiara kata ini dipetik dan diambil dari hasil pembacaan dan pengalaman penulis sendiri serta dari penulis mutiara kata yang ...